19 Julai, 2012

Sesak

Sesekali... Tika aku menoleh ke jurang dalam, nafasku sesak. Teringat aku kepada mimpi-mimpi lalu. Igauan yang tidak mungkin bisa aku lupakan. Membelenggu hidupku sepanjang masa. Menjadikan aku terlalu curiga. Kenangan yang suatu ketika buatkan aku begitu terhimpit oleh kehinaan yang aku sendiri tidak pasti di mana hadirnya.

Semalam, ketika aku berjalan di pinggir hutan. Aku temui sekuntum orkid jingga mekar sangat indah. Bagai tersenyum sedang memandangku. Aku leka memerhati. Aku tertarik. Lalu aku berfikir, apa bisa aku miliki orkid itu atau ia sekadar untuk aku pandang dengan perasaan teruja. Aku berlalu seketika.

Hanya beberapa langkah, hatiku kembali gusar. Terasa rugu jika aku tinggalkan orkid itu tanpa aku nikmati keindahannya. Lalu aku mengundur semula. Menghampiri orkid tadi dan menyentuh lembut. Rasanya segar. Sesegar mataku yang memandang.

Aku mendongak seketika ke daun awan. Mencari-cari jika ada kilauan rona-rona aneh. Tiada. Kotak fikirku tertancap kepada seekor monyet yang sedang bergayutan di dahan leban yang tinggi melangit. Lalu aku memandang orkid semula. Orkid itu seperti sudah hampir pasti menjadi milik aku. Namun monyet juga masih menanti. Aku keliru. Perlukah aku memetik orkid untuk diriku, atau kubiarkan saja untuk dipetik monyet rimba itu.

Ketika aku hampir memetik orkid, tiba-tiba hujan turun. Aku hairan. Kenapa tadi, ketika aku mendongak, langsung tiada kepulan awan hitam? aku benar2 keliru. Aku berteduh di bawah dedaun pisang hutan yang tumbuh kurus di pinggir belantara. Menanti hujan reda. Mahu petik orkid jingga.

Dalam hujan yang masih lebat, aku pandang orkid tadi. Aku lihat dia seperti sedang tersenyum untukku. Aku perhatikan lagi. Lalu aku nampak dia juga sedang mengukirkan senyum yang sama kepada monyet itu. Aku bertambah keliru. Aku atau monyet itu yang memiliki orkid jingga. Jika aku, pasti dia hanya akan tersenyum padaku. Namun dia senyum kepada kedua-duanya.

Lantas aku berfikir lagi. Mahu kutinggalkan orkid jingga itu, hatiku bimbang ia akan jadi milik monyet. Mahu aku petik, aku bimbang orkid akan layu lantara tidak selesa dengan aku. Lantara dia lebih suka bersama monyet.

Dalam kebuntuan, akhirnya aku petik juga pohon orkid berbunga jingga. Akau cuba tanam di lamanku. Dengan harapan agar ia akan berbunga lagi. Dengan impian agar bunganya nanti hanya milik aku. Aku tahu, setiap yang berlaku pasti dengan keizinan-Nya. Aku pasrah atas semuanya...

2 ulasan:

  1. bajailah orkid jinggamu... sirami ia tika mentari mengintai di ufuk fajar... siramkan lagi dengan air cinta di senja yang merona... siramkan terus saat kusam menabir pandang di perdu malam... dan bila mekar bunganya kembali tersenyum buatmu... tatap ia dengan rindu yang menyala... belai ia dengan cinta yang merenda rasa.. namun jangan pernah kau pangkas tangkai hatinya...

    BalasPadam
  2. Apa nak jawab ye Laila... Orkid Jingga itu idaman hati. Namun hadirnya turut dintai Putra idaman...

    BalasPadam